Draf 93: Petikan dari buku AMR ( Amalan Menjemput Rezeki )
********************
Ya Allah...
********************
Kata-kata di bawah ini saya petik dari buku ‘Jangan Bersedih’ karangan Dr ‘Aidh Bin Abudullah Al-Qadri.
Buku inilah yang menjadi peneman saya, ketika roda hidup menjunam ke bawah. Sungguh, berkali-kali air mata ini berderai dek terkesan dengan kata-kata beliau .
Sungguh, tangisan itu bukanlah tangisan sedih. Tangisan itu adalah tangisan gembira kerana mendapat suntikan semangat dari buku beliau. Alhamdulillah. Didoakan hajat dan impian Dr ‘Aidh dimudahkan Allah. Semudah-mudahnya. Sehabis mudah. Amin.
Dan benar, akhirnya saya benar-benar bangkit dan mula menjadi ‘Pemburu Impian’. Walhal pada ketika itu, saya tidak punya apa-apa. Sungguh saya hanya ada impian. Saya sandarkan semuanya kepada Allah.
Kata Dr ‘Aidh melalui buku tersebut...
“Apabila laut tiba-tiba bergelombang, ombak menghempas bergulung-gulung dan angin bertiup kencang dan berderu kencang, si nelayan akan berseru: Oh Tuhan, Ya Allah!
Apabila musibah menimpa, ujian melanda dan cubaan datang silih berganti, maka orang yang ditimpa musibah itu akan berseru sekuat hati: Oh Tuhan, Ya Allah!
Apabila ikhtiar sudah sempurna, jalan tetap buntu, cita-cita terhenti, dan segala hubungan terputus, mereka berseru: Oh Tuhan, Ya Allah!
Apabila dunia yang luas ini terasa sempit buat anda, sedangkan dirimu terasa dihimpit oleh segala yang ditanggungnya, berserulah: Oh Tuhan, Ya Allah!
Kepada Allah jualah ditujukan ucapan-ucapan yang bagus, doa-doa yang ikhlas, teriakan-teriakan yang benar, deraian air mata dan segala keluh-kesah kesedihan.
Kepada-Nya setiap tapak tangan menadah di hujung malam, memohon bantuan, begitu juga setiap mata yang merenung, serta segala permintaan makhluk baharu.
Dengan nama-Nya setiap lidah menyebut, meminta tolong, bermohon dan memanggil. Dengan mengingati-Nya hati akan tenteram dan roh akan damai, serta jiwa menjadi tenang. Urat-urat saraf menjadi lentur, kecerdikan meningkat dan keyakinan menjadi mantap. “
Bila segala jalan kelihatan tertutup, apa lagi yang mampu kita lakukan selain, menyeru, Ya, Allah, Ya, Allah, Ya, Allah.
***********************
Saudaraku warga MMR yang dihormati dan dikasihi
Ia boleh dilakukan melalui solat hajat. Kita boleh sujud berkali-kali, merayu dan merintih kepada-Nya.
Mengapa solat hajat hanya sekali, bila kita tidak pernah dihalang untuk melakukan lebih?
Bagaimana jika kita solat hajat lima kali sehari?
Waktunya?
Sebelum Masuk waktu Subuh
Selepas Solat Dhuha
Selepas Zuhur
Selepas Magrib
Selepas Isyak
Selepas baca al-Fatihah baca sajalah surah yang pendek-pendek.
Kita solat hajat bukan ketika kita berhajat sahaja; semakin kerap kita solat hajat semakin hampir kita kepada Allah.
Samalah halnya , kita ziarah seseorang bukan ketika berhajat sahaja; semakin kerap kita ziarah semakin mesra kita dengannya.
Bila satu hari nanti, kita benar-benar berhajat; dengan dua rakaat solat hajat saja Allah sudah tunaikan hajat kita.
Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan